fb fb fb fb fb

Ahli Parlimen Sipitang hadir ke HQE 1, ikuti proses bedah siasat jenazah Zara Qairina

Datuk Matbali Musah

KOTA KINABALU, 10 Ogos - Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah hadir ke hospital Hospital Queen Elizabeth (HQE) I bagi mengikuti perkembangan terkini proses bedah siasat jenazah Zara Qairina Mahathir.

Beliau turut berharap agar siasatan telus dapat dilakukan berhubung kejadian itu.

"Saya juga bersyukur dengan keprihatinan kerajaan terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes ini. Kita mengharapkan supaya hari ini akan terungkai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu.

Pada masa sama beliau turut menyeru orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam media sosial berhubung kes tersebut.

Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil Polis Diraja Malaysia demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI