fb fb fb fb fb

KL Car Free Morning meriah dengan perarakan budaya ASEAN

Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos - Tiga acara besar-besaran diadakan serentak bersempena KL Car Free Morning (KLCFM) iaitu ASEAN Cultural Parade KLCFM, Technip Fun Run dan Merdeka Fun Run 2025.

Acara yang berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi ini turut disertai para duta, kor diplomatik dan delegasi ASEAN.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, ASEAN Cultural Parade KLCFM diadakan bersempena penganjuran ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) yang berlangsung dari 10 hingga 15 Ogos ini.

Menurut beliau, tahun ini Malaysia mempengerusikan ASEAN dan acara berkenaan menjadi platform untuk memeriahkan lagi KLCFM selain memperkenalkan Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.

Katanya, penyertaan peserta dari pelbagai negara ASEAN mempamerkan kepelbagaian etnik, budaya dan muzik yang mampu menyatukan masyarakat.

Kemuncak acara diserikan dengan Perarakan Budaya melibatkan peserta tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai pakaian tradisional, muzik dan tarian kebudayaan.

Perarakan itu mencerminkan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia dan rakan ASEAN serta mengangkat Kuala Lumpur sebagai bandar raya berwarna-warni yang menghargai warisan dan kesenian.

Gabungan tiga program ini turut mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar utama yang memimpin kerjasama pembangunan dengan visi lebih hijau, terbuka dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Kuala Lumpur terus melangkah sebagai bandar maju dari segi fizikal dan teknologi, sambil mengekalkan nilai budaya dan rasa kebersamaan untuk semua.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN