KUALA LUMPUR, 14 Februari- Tiada diskriminasi kaum dalam urusan pengambilan penjawat awam di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Urusan pelantikan adalah telus berdasarkan merit dan kompetensi calon.
SPA dalam kenyataan memberitahu, semua warganegara Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan dalam persaingan yang terbuka dan adil.
"Tiada penetapan sebarang kuota untuk suatu kaum atau etnik tertentu bagi pelantikan semua jawatan dalam perkhidmatan awam," menurut kenyataan itu hari ini.
Ia merujuk pandangan berhubung cadangan reformasi sektor perkhidmatan awam yang didominasi oleh kaum tertentu.
SPA menjelaskan, pihaknya merupakan salah satu pihak berkuasa melantik bagi Perkhidmatan Awam.
"Selain SPA, pihak berkuasa melantik lain adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan," ujarnya.
(Foto Hiasan)
Dalam pada itu, kerjasama strategik turut dilaksana bersama agensi yang menguruskan hal ehwal masyarakat tertentu seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO).
Jalinan kerjasama itu sekali gus meningkatkan kefahaman masyarakat tentang ketelusan proses pengambilan dan pemilihan calon berasaskan merit dan kompetensi.
"Inisiatif berterusan SPA seperti Program Libat Urus, Hari Kerjaya, Hari Bertemu Pelanggan dan program outreach disasarkan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak terhadap tata kelola pengambilan SPA dan memberi panduan serta menggalakkan masyarakat pelbagai kaum untuk menyertai perkhidmatan awam," tambah kenyataan itu.