KUALA LUMPUR, 14 Februari- 2.5 juta pengguna telah mendaftar di aplikasi MyJPJ bagi mendapatkan cukai jalan dan lesen memandu digital yang diperkenalkan empat hari lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya menyedari terdapat kesukaran untuk mengakses aplikasi berkenaan pada hari pertama dan kedua, namun ketika ini ia telah stabil.
"Jadi ini memang sesuatu yang mengambil masa, kita sudah jangka akan ada masalah dan kita cuba selesaikan.
"Sebab hari pertama, ada satu ketika pada 10 Februari, pada satu saat ada lebih 500,000 orang nak mendaftar, pada masa yang sama.
"Jadi sudah tentu ini ada sedikit kesukaran akses, kita dah kenal pasti dan cuba perbaiki. Setakat ini sistem itu sudah stabil," katanya.
(Anthony Loke)
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan 'Arts On The Move' di Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni, di sini hari ini.
Loke sekali lagi menekankan, lesen dan cukai jalan digital itu sebagai pilihan dan bukan satu kewajiban untuk mendaftarkannya.
Pemandu masih lagi boleh menggunakan lesen fizikal dan pelekat cukai jalan di kereta masing masing.