fb fb fb fb fb

UPSI meterai MoA perkukuh kerjasama pendidikan antarabangsa di China

Profesor Madya Dr. Ridzwan (tiga,kanan) dan Yu Zhiming (empat,kanan) bergambar sambil memegang dokumen MoA yang ditandangani bersama dalam satu majlis yang diadakan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI / Foto UPSI

TANJONG MALIM, 10 September – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan jaringan antarabangsa apabila menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Ningxia New Vision Education Management Co. Ltd dan Ningxia Business Vocational School (NBVS) dari China.

MoA yang dimeterai di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan English Preparatory Course (EPC), yang dijajarkan dengan penilaian All-Purpose Ticket Issuing System (APTIS) sebagai laluan kemasukan berkualiti ke program prasiswazah UPSI.

Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata EPC memberi fokus kepada peningkatan kemahiran bahasa Inggeris dengan penilaian luaran APTIS, membolehkan pelajar serta ibu bapa menilai kemajuan dengan lebih objektif.

“New Vision akan mengurus pengambilan pelajar dan logistik di Ningxia, manakala NBVS menyediakan kemudahan pelaksanaan. UPSI pula menyumbang tenaga pengajar pakar, bahan pengajaran, serta penyelarasan APTIS dan jaminan kualiti,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan universiti itu.

1009 PORTAL UPSI MOA 2.jpegProfesor Madya Dr. Ridzwan (dua,kanan) dan Yu Zhiming (tiga,kanan) ketika menandangani dokumen MoA antara UPSI dengan Ningxia New Vision Education Management Co. Ltd, China dalam satu majlis yang diadakan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI / Foto UPSI

Menurutnya, UPSI menyediakan persekitaran pembelajaran menyeluruh melalui dua kampus moden – Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) – lengkap dengan kemudahan akademik, kokurikulum dan kesejahteraan pelajar.

Sementara itu, Pengurus Besar New Vision, Yu Zhiming berkata, UPSI merupakan universiti pendidikan terkenal dengan sejarah dan budaya yang kukuh, selari dengan usaha syarikatnya dalam memajukan pendidikan bertaraf antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama dengan UPSI bermula sejak 2019 menerusi penubuhan Off-shore ELPC Training Center di Ningxia, dan kini diperluas dengan pembukaan Language Centre baharu di China.

“Pusat ini akan memudahkan pelajar China menyambung pengajian di UPSI, sekali gus menyumbang kepada pembangunan bakat global,” katanya.

Majlis menandatangani MoA turut dihadiri Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Penolong Pengetua NBVS, Prof. Zhang Jing serta Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN