fb fb fb fb fb

Kabinet setuju asing peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya

Sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. - Foto BERNAMA.

PUTRAJAYA, 10 September - Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju secara dasar untuk mengasingkan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan selepas pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Kerajaan bersetuju secara dasar untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sepenuhnya. Kedua-dua jawatan ini akan diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan program jerayawara Tribunal Anti-Buli akan bermula esok di Putrajaya bagi mendapatkan maklum balas berhubung penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.

“Roadshow turut diadakan di Negeri Sembilan pada 17 September, Selangor (18 September), Johor (19 September) dan Melaka (22 September). Maklumat lokasi akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Program itu melibatkan NUTP, guru, PIBG, Suruhanjaya Kanak-Kanak, agensi kerajaan, pengamal undang-undang, kaunselor sekolah dan orang ramai.

TUN JULIA MOHD TAHIR