KUALA LUMPUR, 10 September - Malaysia akan menghantar sebuah pasukan ke Thailand dalam masa terdekat bagi membincangkan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, termasuk perkara berkaitan terma rujukan (TOR).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, langkah itu merupakan susulan kepada perbincangan terdahulu antara Thailand dan Kemboja dalam mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
“Mereka (Kemboja dan Thailand) telah bersetuju mengenai TOR yang telah kita bincangkan dan dipersetujui bersama Kemboja.
"Ia akan dilihat serta dibincangkan semula dengan Thailand dan saya akan menghantar sebuah pasukan ke Thailand untuk membincangkan mengenai TOR tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo S Brawner Jr selepas mempengerusikan Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam berkata, Pasukan Pemerhati Interim (IOT) dari Malaysia, Filipina dan Indonesia telah pun berangkat ke Kemboja, manakala Brunei dan Singapura bakal menyusul kemudian.
Pasukan ini diberikan mandat untuk memastikan perjanjian gencatan senjata dipatuhi dengan tegas. Ia merupakan langkah pertama bagi ASEAN apabila membuat keputusan untuk bergerak sebagai satu entiti.
“Mungkin selepas ini akan melibatkan penyertaan daripada negara-negara ASEAN yang lain. Buat masa ini, hanya lima negara terlibat, tetapi kemudian, negara-negara ASEAN yang lain juga akan turut serta,” katanya.