KUALA LUMPUR, 10 September - Sebuah pasukan petugas khas bersama telah ditubuhkan negara-negara ASEAN hasil persetujuan yang dicapai dalam Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata pasukan khas yang dianggotai tentera dari negara-negara ASEAN itu dilihat sebagai langkah strategik bagi menangani 11 isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
Beliau berkata, penubuhan pasukan itu akan memberi fokus terhadap ancaman bukan tradisional rentas sempadan termasuk jenayah siber dan penipuan dalam talian.
"Pasukan petugas khas ini akan beroperasi serta-merta. Kita akan semak dan beri perhatian kepada isu-isu yang dibangkitkan semasa mesyuarat. Tambahan pula, kita kini berdepan dengan pelbagai bentuk ancaman bukan tradisional," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo S Brawner Jr di sini, hari ini.
Mohd Nizam berkata, penubuhan pasukan petugas itu dijangka memperkukuh kesiapsiagaan dan koordinasi ketenteraan ASEAN dalam menangani cabaran keselamatan moden yang bersifat merentas negara dan tidak konvensional.
Antara 11 perkara yang dibincangkan adalah menjaga keamanan dan kestabilan di samping menyelesaikan pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).
Selain itu, semua pihak komited memperkukuh kepercayaan dan keyakinan bersama menerusi Kod Perlanggaran Tidak Dirancang di Laut (CUES), Garis Panduan bagi Perlanggaran Ketenteraan Udara, Garis Panduan bagi Interaksi Maritim, Infrastruktur Komunikasi Terus ASEAN, serta pelbagai inisiatif lain di bawah kerangka Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).
Semua pihak juga katanya akan terus menyumbang secara aktif kepada keselamatan serantau merangkumi pelbagai bidang, termasuk Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR), Keselamatan Maritim (MS), Perubatan Ketenteraan (MM), Anti-Keganasan (CT), Keselamatan Siber (CS), Tindakan Kemanusiaan terhadap Lombong Letupan (HMA) dan Operasi Pengaman (PKO).