KUALA LUMPUR, 10 September - Isu Laut China Selatan tidak boleh dianggap sebagai masalah dua hala semata-mata, sebaliknya perlu ditangani secara bersama seluruh negara anggota ASEAN.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, pendekatan kolektif amat penting memandangkan kepentingan strategik kawasan itu melibatkan pelbagai negara dan sebarang penyelesaian mesti mengambil kira pandangan serta kepentingan serantau.
Beliau menegaskan, negara anggota telah mencapai kesepakatan bahawa Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan adalah garis panduan penting yang mesti dipatuhi selaras prinsip undang-undang antarabangsa bagi menjamin kestabilan rantau ini.
“Sebagai negara ASEAN, suara kita mungkin tidak begitu kuat kerana secara individu kita kecil. Tetapi jika kita dilihat sebagai satu entiti ASEAN, apa yang berlaku kepada Filipina atau mana-mana negara anggota lain juga perlu dirasai kesannya oleh kita semua,” katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo S. Brawner Jr, di sini, hari ini.
Tambah beliau, hanya dengan pengiktirafan menyeluruh terhadap kod tata laku itu, ASEAN mampu menjamin kebebasan pelayaran di Laut China Selatan.
Sementara itu, Brawner memaklumkan, Filipina telah lama berusaha mendorong pelaksanaan kod tata laku tersebut. Katanya, perkara itu juga akan terus dibincangkan dalam persidangan ACDFM akan datang yang bakal dipengerusikan Filipina.
“Amat penting untuk kita mempunyai kod tata laku yang dihormati oleh semua pihak, bukan sahaja negara ASEAN tetapi juga semua negara di rantau ini,” katanya.
Pertikaian persempadanan Laut China Selatan melibatkan tuntutan wilayah antara China, Malaysia, Filipina, Vietnam, Brunei, dan Taiwan ke atas pulau, perairan dan dasar laut di kawasan strategik itu.
Ia antara lain melibatkan Kepulauan Spratly dan Paracel, serta Terumbu Scarborough.
Tindakan China menetapkan Sembilan Garis Putus atau Nine Dash Line secara unilateral yang memasukkan perairan sekitar Natuna dalam sempadannya menjadi punca ketegangan berterusan dengan negara-negara ASEAN.