IPOH, 10 September - Kerajaan Negeri Perak memperuntukan RM10 juta untuk institusi pendidikan Islam di negeri itu dan telah selesai diagihkan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan tersebut melebihi jumlah diberikan kepada sembilan Sekolah Persendirian Cina (Suwa) berjumlah RM1.8 juta yang dibangkitkan wakil rakyat pembangkang ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025.
"Benda tu bukan benda baru, ia adalah persetujuan kerajaan negeri untuk membantu pendidikan rakyat negeri Perak, sekolah agama Islam, sekolah Cina dan sekolah Tamil.
"Sebab itu ketika sesi penggulungan tadi, saya kata jangan dibanding-bandingkan sebab berapa bagipun tidak cukup. Tetapi kita berusaha supaya semua rakyat dapatlah," katanya kepada pemberita selepas selesai menggulung perbahasan RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Beliau mengulas persoalan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali, yang menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri tidak memberi perhatian kepada institusi pendidikan Islam di Perak.
Terdahulu, DUN Perak meluluskan RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 secara sebulat suara tanpa sebarang pindaan. Usul dikemukakan Datuk Seri Saarani yang turut memegang portfolio Exco Agama Islam negeri, semalam.