fb fb fb fb fb

PM arah semua lawatan rasmi menteri, timbalan menteri dihentikan sementara

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. Foto- BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua lawatan rasmi menteri dan timbalan menteri dihentikan buat sementara waktu.

Arahan itu bertujuan memastikan anggota Jemaah Menteri memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan program utama kerajaan serta persiapan pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pengecualian hanya diberikan kepada lawatan berkaitan mesyuarat berjadual atau urusan rasmi yang telah mendapat pertimbangan khusus Jemaah Menteri.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini dimulakan dengan arahan agar semua lawatan menteri ke luar negara dihentikan sementara,” katanya pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya.

Beliau berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta kecuali bagi mesyuarat berjadual atau urusan rasmi yang telah diberi pertimbangan khusus oleh Jemaah Menteri.

“Arahan ini adalah bagi memastikan menteri memberi fokus kepada pelaksanaan program serta persiapan menuju Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober depan,” jelasnya.

Dalam masa sama, langkah itu turut memberi ruang kepada persediaan rapi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada penghujung Oktober ini.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN