fb fb fb fb fb

TMM2026: Malaysia sasar 47 juta pelawat asing

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 September – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia, menetapkan sasaran baharu sebanyak 47 juta pelawat asing dengan pulangan RM329 bilion bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai melalui pelbagai strategi promosi yang lebih agresif.

Antaranya menumpukan pasaran bersasar seperti China, India, Australia, Indonesia, Asia Tengah, Rusia, Asia Barat, United Kingdom, Chinese Taipei dan Jerman, selain Brunei, Thailand serta Singapura.

Penekanan juga akan diberikan kepada peningkatan kekerapan penerbangan antarabangsa, promosi digital, kerjasama dengan pempengaruh terkenal, serta tawaran pakej pelancongan berimpak tinggi seperti pelancongan mewah, sukan, MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran), gastronomi dan bulan madu.

“MOTAC melalui agensinya Tourism Malaysia telah mengumumkan sasaran baru untuk pelawat bagi Tahun Melawat Malaysia 2026. Sasaran baru adalah 47 juta pelawat asing yang akan membawa pulangan sebanyak RM329 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Abdul Nasir Idris dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara di sini hari ini.

Tambahnya, pendekatan tersebut diyakini dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia, sekali gus memberi impak besar kepada pendapatan negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM