TANJUNG MALIM, 21 Julai- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disaran memainkan peranan signifikan menawarkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahap tinggi bagi melahirkan lebih ramai pendidik dalam bidang itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata UPSI dilihat mampu melaksanakan tugas itu sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menyediakan kursus pendidikan.
"UPSI boleh memainkan peranan, pertama untuk membekalkan guru-guru yang diperlukan dalam bidang TVET.
"Jadi tidak hairanlah pada hari ini, UPSI juga turut menawarkan program yang ada kaitan dengan TVET supaya pada akhirnya, bekalan guru untuk TVET juga datangnya daripada UPSI," katanya kepada pemberita di sini.
(Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin)
Antara bidang TVET tahap tinggi yang boleh diteroka adalah kecerdasan buatan (AI).
UPSI juga berkeupayaan menyediakan kurikulum serta subjek yang menggunakan pengalaman digital.