HANOI, 7 November – Usaha mengurangkan kadar kematian di jalan raya perlu memberi tumpuan kepada dasar yang kukuh, penggunaan data yang tepat serta reka bentuk bandar yang lebih selamat, dan bukan semata-mata bergantung kepada kempen pendidikan.
Pengarah Bloomberg Philanthropies, Kelly Larson berkata tiga elemen tersebut terbukti memberi impak besar dalam mengurangkan kemalangan jalan raya di banyak negara yang mengamalkan pendekatan berasaskan bukti dan perancangan menyeluruh.
Menurutnya, pengalaman pelaksanaan di pelbagai negara membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti lokasi berisiko tinggi, menambah baik infrastruktur seperti persimpangan dan laluan pejalan kaki, serta melaksanakan penguatkuasaan yang lebih bersasar, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan maut.
Pengarah Bloomberg Philanthropies, Kelly Larson/RTM
“Kami berpandukan data dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan dasar dapat diterjemah kepada pelaksanaan yang berkesan,” katanya ketika sesi Pelaporan Keselamatan Jalan Raya di Hanoi, Vietnam.
Beliau turut menjelaskan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan had kelajuan 30 kilometer sejam di kawasan tumpuan pejalan kaki seperti sekolah, serta 50 kilometer sejam di jalan bandar lain sebagai amalan terbaik bagi melindungi pengguna jalan raya.
Kelly menegaskan, negara berpendapatan rendah dan sederhana menanggung beban kematian jalan raya tertinggi, meskipun kadar pemilikan kenderaan di negara-negara tersebut jauh lebih rendah berbanding negara berpendapatan tinggi.
Dengan pendekatan berasaskan dasar, reka bentuk dan penguatkuasaan yang konsisten, beliau yakin lebih banyak nyawa dapat diselamatkan sekiranya pihak berkuasa mengekalkan komitmen memperkukuh sistem keselamatan jalan raya secara berterusan.
Bloomberg Philanthropies merupakan organisasi amal antarabangsa yang memberi tumpuan kepada seni, pendidikan, alam sekitar, inovasi kerajaan dan kesihatan awam, dengan program dilaksanakan di lebih 700 bandar di 150 negara.