fb fb fb fb fb

Program Jualan Rahmah Bergerak akan diperluaskan - Salahuddin

(Foto BERNAMA)

SINTOK, 21 Julai- Program Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan 'Kedai Cari Rakyat' akan diperluas dan diperbanyakkan ke kawasan-kawasan pedalaman yang jauh daripada kawasan pusat bandar atau pasar raya besar.

Ia selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapat tawaran daripada pengusaha-pengusaha lori dan van yang menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk membawa barang-barang jualan Rahmah ke kawasan terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata berdasarkan pemerhatian yang dilakukan sejak program itu dilaksanakan, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Jumlah pengangkutan untuk membawa barangan tersebut perlu ditambah bagi meningkatkan lagi keberkesanan membantu rakyat dengan cara lebih bersasar.

"Kita sedang meningkatkan libat urus dengan rakan-rakan kita yang terlibat dalam bidang pengangkutan dan nampaknya libat urus ini penting untuk kita pastikan lebih banyak destinasi dapat kita sampai dengan pendekatan jualan Kedai Cari Rakyat ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Jualan Rahmah Peringkat Negeri Kedah di tapak Pesta Konvokesyen, Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Program Jelajah Jualan Rahmah di UUM Sintok itu diadakan selama dua hari berturut-turut bermula hari ini.

Antara barang dijual termasuk ayam segar, telur ayam, minyak masak paket satu kilogram, gula, tepung gandum, beras, bawang besar, dan beras pulut.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu