fb fb fb fb fb

Tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar, tidak beri kesan diplomatik

Foto BERNAMA

MEMBAKUT, 7 November - Malaysia menegaskan bahawa tuduhan pengkhianat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dibuat oleh seorang individu di Thailand, tidak memberi sebarang kesan diplomatik kepada negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tuduhan yang dibuat oleh Jeneral A. Rangsi Kitiyansap tersebut hanyalah bersifat pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian mana-mana kerajaan.

Beliau juga menegaskan, individu yang membuat dakwaan tersebut merupakan pemimpin parti kecil yang tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya Thailand, dan kenyataan tersebut tidak mempunyai nilai rasmi.

"Tuduhan itu adalah tuduhan peribadi dan tidak mewakili negara, kecuali jika kita menerima nota diplomatik dari negara berkenaan, barulah tindakan boleh diambil. Bagaimanapun ini suara seorang individu yang partinya tidak menang walau satu kerusi pun dalam pilihan raya," jelas beliau di sini.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikian ketika ditemui media dalam Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Penduduk di Kawasan Parlimen Kimanis.

Mengulas lanjut katanya, tuduhan sedemikian sering timbul daripada pihak yang kurang senang dengan peranan Malaysia di ASEAN, khususnya selepas kejayaan negara menjadi perantara pertemuan Kemboja–Thailand serta usaha menstabilkan situasi di Myanmar.

"Dan kita tidak perlu hairan kerana sememangnya akan wujud hubungan dengan pihak yang tidak senang dengan kerajaan," tambah beliau.

Namun tegasnya, Malaysia akan terus fokus kepada kestabilan serantau, termasuk memperkukuh kerjasama menerusi blok ASEAN, GCC dan China yang kini menjadi antara kerjasama strategik terbesar di dunia.

EZA YUSMAWATI YAACOP