SERDANG, 17 November- Universiti Putra Malaysia (UPM) komited dalam menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan mewujudkan dasar hijau di kampus itu.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata ia bagi mempraktikkan beberapa perkara selaras dengan amalan terbaik seperti penggunaan tenaga solar dan pengurusan sisa melalui proses pelupusan dan rawatan.
"Kita merupakan universiti pertama dalam menjayakan kelestarian hijau ini dan pelbagai inisiatif yang dilakukan UPM terutama sekarang ini yang terbaharu adalah daripada segi penggunaan tenaga elektrik.
Kita telah memasang panel solar di kawasan UPM dan merupakan salah satu inisiatif terbesar pada tahun ini untuk kita mengurangkan penggunaan tenaga," kata Dr. Mohd Roslan kepada RTM selepas ditemui pada program Simposium Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Inisiatif Hijau, di sini.
Tambah beliau, UPM telah menjadi sebuah institut pengajian yang mengetengahkan kelestarian di Malaysia selama 12 tahun menerusi inisiatif kehijauan yang dilaksanakan sebelum ini.
Kenyataan beliau itu selaras dengan usaha mereka dalam memupuk kelestarian serta menyebar luas pengetahuan mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Sehubungan itu, forum perbincangan SDG yang diadakan pada hari ini merupakan salah satu inisiatif hijau pihak UPM bagi melahirkan komuniti mampan serta sentiasa peka dalam penjagaan alam sekitar.
(Foto FB UPM)