LABUAN, 4 Mei- Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan bertambah ceria dengan pembukaan reruai promosi sempena Festival Flora Borneo (BFF) 2025 yang bakal berlangsung dari 26 hingga 30 Julai depan.
Inisiatif itu bertujuan memperkenalkan BFF lebih awal kepada pelancong dan pengunjung yang tiba di Labuan, memberikan mereka peluang untuk merasai sendiri keunikan landskap bunga-bungaan dan taman yang bakal dipamerkan sepanjang festival berlangsung.
Menurut kenyataan Perbadanan Labuan, pembukaan reruai di lokasi strategik seperti lapangan terbang membolehkan capaian terus kepada pelawat domestik dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh imej Labuan sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan khazanah alam dan budaya.
"Selain mempromosi festival, reruai tersebut turut mempamerkan produk kraf tempatan di bawah jenama LAWA, yang mengetengahkan hasil seni kraf berasaskan sumber hutan dan laut seperti batik, anyaman tradisional, jahitan kreatif dan sulaman manik.
"Usaha tersebut memperkukuhkan lagi keusahawanan tempatan dan memelihara warisan budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," menurut kenyataan Perbadanan Labuan.
Reruai promosi BFF@Labuan 2025 telah disempurnakan pelancarannya oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Noridah Abdul Rahim.
Festival BFF yang pertama kali dianjurkan itu dijangka menghimpunkan peminat bunga, usahawan hortikultur serta pempamer dari seluruh negara, dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta dan komuniti tempatan selari dengan usaha memperkukuh Labuan sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi.