SEREMBAN, 4 Mei- Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah van dan sebuah motosikal di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat Persimpangan Lampu isyarat Matahari Height menghala ke Paroi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohamad Hatta Che Din menerusi kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 44 tahun bersama seorang penumpang perempuan berumur 20 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu van tersebut dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat warna merah lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
"Akibat daripada kemalangan, penunggang motosikal, 20 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang van tidak mengalami kecederaan," kata Mohamad Hatta.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat.
Sementara pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.