fb fb fb fb fb

Anwar ucap tahniah kepada PM Wong atas kemenangan PRU2025

Lawrence Wong/AFP

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, yang berjaya memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025).

Menerusi kenyataan di Facebooknya, Anwar berharap kejayaan tersebut akan disusuli dengan lebih banyak pencapaian buat Wong dan pasukannya dalam memikul tanggungjawab kepimpinan untuk penggal yang baru ini.

"Semoga terus maju jaya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab besar yang diberikan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua negara tidak hanya terikat oleh geografi tetapi juga oleh hubungan kukuh yang terjalin melalui pertalian keluarga dan masyarakat.

"Sebagai dua negara berjiran, kita sedang membina satu budaya kerjasama yang mendalam di semua peringkat – satu asas yang sangat penting ketika kita mengharungi cabaran besar dalam susun atur global dan perdagangan antarabangsa," tambah beliau.

Beliau juga menekankan bahawa kerjasama antara Malaysia dan Singapura berpotensi untuk mengukuhkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pencapaian cemerlang yang boleh diraih oleh negara berjiran dengan penuh keyakinan dan tujuan bersama.

"Kami menantikan untuk memperdalamkan lagi hubungan istimewa ini pada masa akan datang," katanya lagi.

PAP Singapura berjaya mengekalkan majoriti melebihi dua pertiga dalam PRU2025 dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.

Parti itu memperoleh kemenangan besar dengan 65.57 peratus undi popular, mencatat peningkatan lebih empat mata peratusan berbanding keputusan pada 2020.

SITI AISHAH MD ISA