KUALA LUMPUR, 4 Mei- Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah terus meningkat apabila seramai 1,547 orang daripada 473 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan setakat 10 pagi tadi berbanding 1,243 daripada 375 keluarga pada petang semalam.
Laman web Infobencana JKM memaklumkan, tiga daerah terlibat iaitu Sook, Beufort dan Sipitang.
Daerah Sook kekal mencatat angka tertinggi apabila 1,346 orang daripada 406 keluarga kini berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS).
"PPS terlibat ialah Dewan Datuk Ellron Agin yang menempatkan 671 mangsa, Dewan Masyarakat Sook (267), Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 (207), Dewan Kampung Ansip Tengah (117) dan 84 mangsa di Balai Raya Kampung Molosok Dalit.
"Sementara itu, di Beaufort, 175 mangsa daripada 57 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon, dan di daerah Sipitang seramai 26 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah," menurut kenyataan tersebut.