
SAUDARA PENGARANG
- Radio kekal relevan dan meluas di Malaysia, menjadi teman harian serta sumber berita dan hiburan walau era digital berkembang.
- AI mempercepat transformasi operasi radio melalui penjadualan kandungan, analisis pendengar dan peningkatan kualiti siaran.
- Interaksi AI boleh memperkayakan hubungan penyampai-pendengar tetapi mesti mengekalkan kehangatan emosi manusia.
- Penggunaan AI mesti beretika, melindungi privasi dan mengekalkan identiti suara tempatan sebagai warisan budaya.
Radio masih berdenyut disaat Kecerdasan Buatan (AI) menguasai dunia!
Radio masih menjadi teman setia rakyat Malaysia walaupun dunia digital semakin rancak. Sehinggalah tema Hari Radio Sedunia tahun ini mengangkat AI untuk dibicarakan.
Kajian AC Nielsen dan GfK RAM 2025 menunjukkan lebih 20 juta pendengar radio secara mingguan, iaitu lebih 90% dari populasi rakyat Malaysia berusia 10 tahun ke atas. Purata masa mendengar sekitar 12 jam seminggu, kebanyakannya di dalam kereta menemani perjalanan, menjadikan radio sebahagian daripada rutin harian.
Siaran berbahasa Melayu dan Inggeris kekal sebagai pilihan utama, dengan liputan kajian kini merangkumi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Ini memberi gambaran menyeluruh tentang tabiat pendengar bandar dan luar bandar, sekaligus menegaskan bahawa radio masih merentasi sempadan geografi dan budaya.
Walaupun penstriman muzik dan podcast semakin meningkat, radio tetap relevan kerana sifatnya percuma, mudah diakses, dan dekat dengan komuniti. Generasi muda mungkin mahukan pengalaman media yang lebih dipersonalisasi, tetapi mereka masih bergantung pada radio untuk berita segera dan hiburan harian.
Dari Analog ke Algoritma
Revolusi Industri 4.0 membawa masuk kecerdasan buatan (AI), IoT, big data dan automasi pintar. Dalam dunia radio, AI bukan sekadar peralatan terkini, tetapi pemangkin transformasi yang mengubah cara stesen beroperasi.
AI membantu penjadualan kandungan, analisis data pendengar, pembentukan segmen yang lebih relevan, dan peningkatan kualiti siaran. Dengan keupayaan memproses data yang besar, radio dapat memahami tingkah laku pendengar secara lebih mendalam.
Namun, teknologi ini menuntut latihan berterusan kerana ia berkembang lebih pantas daripada struktur kerja tradisional. Tanpa adaptasi, jurang kemahiran boleh menjejaskan keberkesanan transformasi digital dalam industri penyiaran.
Interaksi Mesra Penyampai-Pendengar dengan AI
AI membuka peluang untuk memperkaya interaksi dengan pendengar. Dengan analisis data, stesen radio boleh memahami minat dan tabiat pendengar, khususnya generasi muda yang mahukan pengalaman lebih interaktif.
Bayangkan chatbot suara yang responsif, cadangan segmen berdasarkan sejarah pendengaran, atau tinjauan automatik masa nyata. Semua ini menjadikan komunikasi radio lebih dua hala, bukan lagi sekadar siaran sehala.
Namun, cabarannya ialah memastikan interaksi AI tidak terasa dingin atau mekanikal. Radio mesti mengekalkan kehangatan hubungan manusia yang selama ini menjadi nadi penyiaran, agar pendengar tetap merasakan sentuhan emosi.
Kelestarian Muzik, Hiburan & Berita
Radio masih menjadi saluran utama untuk muzik popular, hiburan santai dan berita segera. Pendengar mengharapkan radio sebagai teman harian yang menyediakan lagu terkini, gosip selebriti, dan laporan trafik atau cuaca secara langsung. Walaupun AI mempercepat capaian maklumat, radio tetap unggul kerana ia hadir dengan suara manusia yang dekat dengan emosi pendengar.
AI boleh membantu memilih senarai lagu berdasarkan mood pendengar, mengesan trend hiburan global, atau menapis berita penting untuk disampaikan dengan pantas. Kelebihan radio bukan sekadar algoritma, tetapi pengalaman kolektif yang dikongsi bersama jutaan pendengar pada masa yang sama.
Seperti bait lirik dalam “Hanya di Radio” oleh Headwind – “Siapa Engkau yang bersuara emas, boleh aku merayu kepadamu”…, radio bukan sekadar medium hiburan, tetapi wadah emosi dan kenangan. Begitu juga dengan lagu “Balik Kampung” dendangan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, yang berkumandang setiap kali menjelang Aidilfitri, mencetuskan saratnya rindu dan kegembiraan untuk pulang bertemu keluarga.
Lagu-lagu ikonik sebegini membuktikan bahawa radio masih menjadi ruang budaya yang menyatukan masyarakat, menghubungkan berita, hiburan dan muzik dengan sentuhan nostalgia yang tidak dapat digantikan oleh teknologi semata-mata.
Namun, suara penyampai tetap menjadi pengikat emosi; membawa berita dengan nada yang meyakinkan, berkongsi jenaka yang segar, dan menemani pendengar dalam perjalanan seharian. Inilah kelebihan radio; gabungan maklumat pantas dengan sentuhan manusia.
Etika & Identiti Suara
UNESCO menekankan penggunaan AI secara telus dan bertanggungjawab. Privasi pendengar mesti dijaga, data diurus dengan selamat, dan kreativiti manusia tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh kandungan automatik.
Di Malaysia, penggunaan AI seperti avatar pembaca berita atau sistem suara automatik dilihat meningkatkan produktiviti. Namun, ia menimbulkan persoalan tentang identiti suara tempatan dan sensitiviti bahasa.
Suara penyampai radio bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang budaya dan emosi yang dekat dengan pendengar. Kehilangan elemen ini boleh menjejaskan keaslian dan kehangatan radio sebagai medium komuniti.
AI Sebagai Rakan Kreatif
Untuk kekal relevan, radio perlu menempatkan AI sebagai rakan kreatif, bukan sekadar mesin automasi. AI boleh membantu menghasilkan podcast tematik berstruktur, mencipta kesan bunyi berdasarkan corak emosi, dan menyokong analisis demografi pendengar.
Namun, hala tuju kandungan tetap di tangan manusia. Penyampai radio perlu mengekalkan kekuatan naratif, humor yang berlapik kebijaksanaan, dan bual bicara yang menyentuh minda serta emosi pendengar.
AI hanyalah jejantas antara tradisi dan inovasi. Radio boleh mengekalkan kekuatan interaksi langsung sambil memanfaatkan teknologi pintar untuk terus dinamik dan meningkatkan kebolehcapaian.
Radio dalam Era IR4.0
Tema Hari Radio Sedunia 2026, “Radio dan Kecerdasan Buatan”, bukan sekadar soal teknologi. Ia adalah panggilan untuk melangkah ke hadapan dengan bijak, beretika dan kreatif.
AI membuka peluang luar biasa untuk memahami pendengar dengan lebih mendalam, menyampaikan kandungan relevan, dan mengekalkan kuasa radio sebagai medium ‘hidup yang bersuara’ di era digital.
Kejayaan transformasi ini bergantung pada keseimbangan antara inovasi teknikal dan nilai kemanusiaan. Radio mesti menjadi suara yang mendengar, bukan sekadar untuk didengar, agar ia terus menjadi peneraju suara masa depan yang inklusif dan bermakna tanpa hilang jati diri.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Penyiaran
Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor.
E-mel: rahmahtunnisah@uis.edu.my