fb fb fb fb fb

Agensi diarah siap siaga, berdepan kemungkinan banjir - KPLB

PADANG TERAP, 17 November- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensinya sudah bersedia dengan pelan tindakan bagi hadapi kemungkinan banjir pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ketua agensi di bawah kementerian itu telah diberi taklimat berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diambil jika berlaku banjir pada hari berkenaan.

"Kita telah memberi arahan kepada pengarah dan ketua pegawai eksekutif semua agensi seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kedah, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di Kelantan akan mengambil langkah-langkah yang perlu jika berlaku banjir pada hari berkenaan," kata Mahdzir kepada media selepas menghadiri Majlis Pekebun Kecil Perusahaan Getah RISDA Makmur Negeri Kedah dan Kenduri Rakyat di Kampung Nako, Belimbing Kanan.


(Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyantuni tetamu pada Majlis Pekebun Kecil Perusahaan Getah RISDA
Makmur Negeri Kedah dan 'Kenduri Rakyat di Kampung Nako, Belimbing Kanan)

Dalam perkembangan berasingan, KPLB bersetuju dengan cadangan RISDA untuk menaikkan harga lantai getah kepada lebih RM3.00 sekilogram.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata harga lantai getah ketika ini RM2.50 sekilogram adalah rendah menyebabkan kehidupan pekebun kecil tidak banyak berubah berikutan kos sara hidup yang meningkat.

Sebelum ini, RISDA dilaporkan menilai kenaikan harga getah daripada RM2.50 sekilogram ekoran penurunan harga komoditi itu yang menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Media Baharu