fb fb fb fb fb

Masjid sebagai pusat kesejahteraan wanita menerusi pendekatan holistik empat dimensi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat kesejahteraan wanita menerusi pendekatan holistik empat dimensi menyasarkan kesejahteraan menyeluruh golongan itu melalui modul fizikal, mental, sosial dan rohani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai manifestasi masjid sebagai pusat kesejahteraan MADANI yang mendekatkan komuniti, khususnya wanita, kepada agama melalui pendekatan santai dan menyeluruh.

"Program untuk menggalakkan dan memberikan input kepada golongan wanita seperti yang kita sedia maklum. Di negara kita ini, ada dalam kalangan wanita-wanita yang ada gejala masalah mental.

"Kita tahu bahawa masalah mental ini adalah satu masalah yang boleh memberi kesan kepada pembinaan masyarakat MADANI. Jadi, islam sebagai satu agama yang syumul, yang ada solusi dan masjid ini adalah merupakan asas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Thy Me Time @ Masjid dilancarkan di Masjid Azzubair Ibnul Awwam di ibu negara.

Modul yang diketengahkan termasuk senaman ringan, zikir, refleksi kendiri serta sesi sokongan komuniti yang membantu peserta menyusun semula matlamat hidup, memperkukuh daya tahan emosi, dan menyeimbangkan peranan sebagai isteri, ibu dan pekerja.

Selain itu, program berkenaan dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi fungsi masjid kepada pusat pembangunan diri dan kekuatan spiritual masyarakat moden selain tempat ibadah.

Dengan sokongan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Bizdiva Network Malaysia, inisiatif itu dijangka akan diperluas sebagai model rujukan global dalam memperkasa komuniti Muslimah sejagat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI