fb fb fb fb fb

14 negara sokong Inisiatif Kesihatan Paru-Paru di peringkat global

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Foto RTM

PUTRAJAYA, 4 Mei — Sebanyak 14 negara menyatakan sokongan terhadap resolusi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru yang dikemukakan Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 yang bakal berlangsung di Geneva, Switzerland bulan ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif tersebut diperkenalkan bagi memperkukuh usaha pencegahan, saringan, rawatan dan kawalan penyakit berkaitan paru-paru, sejajar dengan matlamat mempertingkat kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Katanya, pendekatan baharu itu turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan saringan kesihatan paru-paru di peringkat awal, sekali gus meningkatkan ketepatan pengesanan penyakit.

“Pendekatan ini bukan sahaja melibatkan penggunaan x-ray, tetapi x-ray yang dipertingkat dengan AI. Data yang diperoleh akan dianalisis oleh AI dan dari sudut ketepatan serta kejituannya adalah jauh lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025–2030 di sini, hari ini.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025–2030 untuk memperkukuhkan aktiviti saringan dan rawatan, dengan saringan kesihatan paru-paru menggunakan teknologi AI ditawarkan di tujuh buah klinik kesihatan (KK) seluruh negara.

Antara klinik yang menawarkan kemudahan tersebut ialah KK Kok Lanas, KK Kajang, KK Beserah, KK Seberang Perai dan KK Pendang.

Menurut Dzulkefly, inisiatif itu merupakan pendekatan pertama seumpamanya yang menggabungkan kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, termasuk kanser paru-paru, Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (COPD), asma, pneumonia, tuberkulosis, COVID-19 dan influenza.

“Tumpuan turut diberikan terhadap faktor risiko utama seperti merokok, pendedahan kepada pencemaran alam sekitar dan faktor pekerjaan di tempat kerja,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN