fb fb fb fb fb

Cadangan WFH, PdPR sempena Sidang Kemuncak ASEAN belum dimuktamadkan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Kerajaan masih belum memuktamadkan cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) dan pengajaran serta pembelajaran di rumah (PdPR) sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan berlangsung hujung Mei ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu telah dibincangkan dua minggu lalu dan kini sedang diteliti oleh Sekretariat ASEAN sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Fokusnya ialah kepada warga yang mungkin bekerja ataupun berada di sekitar lokasi Sidang Kemuncak ASEAN dan beberapa mesyuarat besar yang akan diadakan.

“Mengikut kalendar, dijangka Sidang Kemuncak ASEAN ini akan berlaku hujung Mei dan saya percaya dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang, sama ada minggu ini atau minggu berikutnya, kita akan ada maklumat tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesihatan Awam Universiti Malaya: Kencing Manis Bukan Halangan di IWK Ecopark Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beberapa sektor seperti pendidikan perlu merujuk perkara tersebut kepada Menteri Pendidikan, manakala bagi penjawat awam cadangan itu akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan cadangan pelaksanaan WFH dan PdPR ketika Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei dan Oktober depan akan dibawa ke perhatian Kabinet.

Cadangan tersebut timbul susulan kesulitan yang dihadapi rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan penutupan jalan semasa lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia baru-baru ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN