KUALA LUMPUR, 4 Mei — Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah signifikan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat menerusi pelaksanaan Perintah Paparan Harga Ubat yang mula berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.
Presiden MPS, Profesor Amrahi Buang berkata pelaksanaan perintah itu selari dengan Dasar Ubat Nasional (DUNAS) yang mengutamakan akses kepada ubat mampu milik mengikut keupayaan kewangan individu.
“Bagi kami di Persatuan Farmasi Kebangsaan Malaysia, perintah paparan harga ubat ini adalah langkah yang sangat tepat dan wajar. Rakyat berhak tahu berapa harga ubat yang mereka beli sebelum membuat bayaran. Ini soal ketelusan, ini soal hak pengguna,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata, langkah itu membolehkan rakyat membuat pilihan yang lebih bijak tanpa sebarang tekanan atau kekeliruan.
“Dalam profesion farmasi, kami diajar bahawa pesakit adalah keutamaan, dan inilah caranya kita mengutamakan mereka, dengan maklumat yang jelas dan jujur,” katanya.
Langkah tersebut turut mendapat sambutan positif daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) pengguna seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Third World Network (TWN).
Mengulas lanjut, Amrahi mengakui farmasi merupakan sebuah perniagaan dan mencari keuntungan adalah perkara yang sah, namun menegaskan pencatutan harga ubat adalah perbuatan yang tidak beretika.
“Kita tidak menolak bahawa farmasi adalah perniagaan, dan mencari keuntungan itu tidak salah. Tetapi mencatut harga ubat, itu satu perbuatan yang tidak beretika, malah bercanggah dengan undang-undang dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut berharap pelaksanaan perintah tersebut dapat memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan negara serta memastikan akses kepada ubat-ubatan yang berpatutan dan telus untuk semua.
“Langkah ini selari dengan Kod Etika Ahli Farmasi dan ajaran semua agama, yang menuntut kejujuran serta keadilan dalam urusan sesama manusia,” jelasnya.
Walaupun terdapat pihak yang mempersoalkan pelaksanaan perintah itu dari segi perundangan dan keupayaan sistem sedia ada untuk memantau pematuhan, MPS menegaskan inisiatif tersebut memberi manfaat kepada pengguna dan membantu memulihkan kepercayaan kepada sistem farmasi negara.
Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk memahami objektif utama perintah tersebut dalam menangani tekanan kos sara hidup dan memastikan semua rakyat mendapat hak sewajarnya sebagai pengguna.