fb fb fb fb fb

KKM puas hati pematuhan penandaan harga ubat 2025

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 4 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpuas hati dengan tahap pematuhan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya tidak akan mengenakan denda atau kompaun terhadap farmasi dan klinik swasta dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan perintah tersebut bagi memberi ruang kepada pengusaha memahami dan melaksanakan arahan dengan jelas.

“Tiga bulan diperlukan kedua-dua pihak untuk lebih jelas dan lebih tahu akan hal yang terkait bagaimana buat paparan itu. Semalam saya berkesempatan melawat tiga buah farmasi komuniti dan sebuah klinik swasta di Kuala Selangor dan semuanya menunjukkan kaedah paparan yang dibuat.

“Setakat ini, saya berpuas hati terhadap pematuhan arahan tersebut,” katanya dalam sidang media sempena taklimat Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025–2030 di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua premis klinik dan farmasi komuniti diwajibkan memaparkan harga ubat yang dijual kepada pengguna sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.

Arahan itu dilaksanakan menerusi pewartaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 yang mewajibkan semua ubat disertakan tanda harga yang jelas.

“Saya yakin semua akan turut serta dalam perkara ini. Pihak kami juga akan mengadakan libat urus dengan pengamal perubatan swasta (GP) untuk membantu dalam aspek pematuhan. Saya tegaskan sekali lagi, GP merupakan tulang belakang penting dalam sektor kesihatan negara. Jadi saya pasti menjaga kebajikan mereka dengan baik,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN