KUALA LUMPUR, 4 Mei- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan kesediaan mengadakan sesi perbincangan bersama pelbagai pihak untuk mewujudkan garis panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia kewartawanan.
Beliau berkata garis panduan itu bagi mengelak sebarang penyalahgunaan teknologi tersebut.
"Saya bersedia untuk mengadakan perbincangan yang mendalam dengan rakan-rakan bukan sekadar di Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), tetapi juga dari Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), contoh yang mewakili kelab-kelab gabungan wartawan supaya pandangan dari pelbagai pihak dapat diambil kira.
"Kita perlukan garis panduan pemahaman supaya kita dapat memanfaatkan AI dan tidak menjadi mangsa sama ada daripada berita palsu, maklumat yang tidak tepat ataupun salah guna AI terutama dalam bidang media", katanya kepada media selepas merasmikan Program Kempen Kesihatan Awam Universiti Malaya di Pantai Dalam.
Memetik laporan Indeks Kebebasan Media 2025 yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF), beliau menegaskan ia bukan matlamat akhir, sebaliknya usaha menangani cabaran yang dihadapi dunia kewartawanan kini perlu dipertingkat.
"Matlamat kita bukan semata-mata untuk melihat kedudukan Malaysia dalam indeks seperti Indeks Kebebasan Media ini meningkat, tetapi saya lihat bagi rakan-rakan media banyak cabaran yang dihadapi sekarang perlu ditangani dengan segera. Ini termasuk juga isu pekerjaan, isu kebajikan, isu menangani keberadaan kecerdasan buatan (AI)", katanya.
Berdasarkan laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan RSF, kedudukan Malaysia meningkat 19 anak tangga.
Susulan peningkatan tersebut, Malaysia kini berada di kedudukan ke-88, kedua tertinggi di ASEAN, di belakang Thailand yang berada di kedudukan ke-85.