fb fb fb fb fb

Melaka gariskan panduan baharu penyelenggaraan pokok

JASIN, 17 November- Kerajaan negeri Melaka menggariskan panduan baharu untuk cantasan dan penyelenggaraan pokok-pokok di sepanjang laluan di negeri itu termasuk pokok warisan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata ia bagi memastikan tiada insiden pokok tumbang yang boleh membahayakan nyawa orang awam khususnya dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Menurutnya, garis panduan itu terpakai untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perhutanan Negeri yang bertanggungjawab menyelenggara pokok-pokok berkenaan.

"Kita ambil keputusan untuk memotong pokok-pokok yang menimbulkan risiko bahaya kepada orang ramai. Tindakan tersebut sudah dilaksana di Pantai Puteri pada semalam. Kita akan pastikan bagi pokok-pokok yang ada nilai klasik tapi mengancam keselamatan kita akan potong separuh.

Ia akan mengurangkan risiko untuk berlaku kemalangan kerana sebelum ini teknik kita cantas, jadi dia tinggal satu batang namun ia masih lagi mengancam keselamatan," kata Zaidi kepada pemberita RTM di Jasin.

Terdahulu, dalam kejadian pada 12 November lalu, seorang bayi lelaki maut selepas dia dan ibunya dihempap sebatang pokok rhu ketika berkelah di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Selain itu, beberapa insiden pokok tumbang turut dilaporkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka susulan angin kencang dan ribut berikutan Monsun Timur Laut.

(Foto Hiasan)

Media Baharu