fb fb fb fb fb

Kes dadah di Kelantan membimbangkan, 80 peratus banduan terkait dadah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto Bernama

PASIR MAS, 4 Mei — Kes penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan terus membimbangkan dengan menunjukkan trend peningkatan sejak 2022.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan data sejak dua tahun lalu, jumlah tangkapan, reman dan sabitan kes dadah semakin meningkat.

Antara faktor membimbangkan ialah kepadatan banduan yang tinggi di penjara Machang dan Pengkalan Chepa, yang majoritinya disabitkan kesalahan berkaitan dadah.

“Penjara Machang paling sesak dengan 3,184 banduan dan 80 peratus daripadanya adalah kes dadah. Penjara Pengkalan Chepa pula menempatkan 2,977 banduan dengan 65 peratus melibatkan kes serupa.

“Dadah sintetik paling tinggi pengambilannya, berbanding ganja yang agak sedikit. Dari sudut operasi dan tangkapan penyeludupan dadah, trendnya meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan beberapa pangkalan haram, di sini yang turut dihadiri  Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Menurut Saifuddin, berdasarkan piawaian Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), tahap penyalahgunaan dadah diukur melalui nisbah kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Kelantan termasuk dalam empat negeri sempadan bersama Kedah, Perlis dan Terengganu yang mencatat kadar tertinggi kes berkaitan dadah.

Lima daerah yang merekodkan kes tertinggi di Kelantan ialah Jeli, Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata penutupan 212 pangkalan haram dan pelaksanaan larangan rentas sempadan sejak 1 Disember tahun lalu berjaya menurunkan pergerakan melalui laluan tidak sah secara mendadak.

Jika sebelum ini, seramai 5,000 penduduk menggunakan pangkalan haram setiap hari, kini angka itu menurun kepada 40 hingga 50 orang sahaja.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan penutupan laluan haram di Kelantan telah menyebabkan peningkatan kemasukan dadah di Kedah melalui kuala-kuala seperti Kuala Sanglang, Kuala Kedah dan Jerlun.

“Saya dimaklumkan minggu lepas, mereka mengesan trend pendaratan dadah melalui kuala-kuala. Apabila kita kuatkuasakan penutupan dan buat serbuan, trend bekalan itu sedikit menurun tetapi ia masih perlukan perhatian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di 22 pintu masuk berjalan baik setakat ini dengan nilai rampasan di Rantau Panjang mencecah RM400,000 sejak 1 Januari.

Namun begitu, Saifuddin berkata aspek pengoperasian AKPS akan terus ditambah baik termasuk percepatan pengambilan aset dari agensi asal dan penambahan penjawatan bagi memaksimumkan keupayaan agensi tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN