PUTRAJAYA, 4 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong atas kemenangan cemerlang Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2025 negara itu.
Menerusi Facebooknya, beliau menyifatkan kemenangan itu satu mandat kukuh yang jelas mencerminkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Wong.
Kemenangan itu juga, isyarat bahawa rakyat Singapura yakin dengan dasar progresif dan visi Wong untuk masa depan republik berkenaan.
"Pastinya, Malaysia dan Singapura bukan hanya jiran dari segi geografi, tetapi rakan strategik yang berkongsi hubungan sejarah, budaya dan ekonomi yang terlalu istimewa.
"Saya yakin di bawah kepimpinan Lawrence Wong, hubungan dua hala ini akan terus diperkukuh serta membuka lembaran baharu dalam kerjasama serantau yang saling menguntungkan. Insya-Allah, " jelasnya.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut berharap, Singapura terus makmur dan maju jaya di bawah pentadbiran Wong.
Selain, hubungan erat Malaysia dengan Singapura terus berkembang demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
PAP berjaya mengekalkan majoriti melebihi dua pertiga dalam PRU2025 Singapura dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.