fb fb fb fb fb

UPM bantu komuniti tingkat kemahiran pertanian moden

Antara hasil tanaman yang ditanam oleh komuniti Taman Perwira Setia, Gombak menggunakan sistem hidroponik NFT solar dan penanaman anak pokok pisang hasil teknologi tisu kultur

SERDANG, 20 Januari- Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) membantu 250 orang komuniti Taman Perwira Setia, Gombak meningkatkan kemahiran dalam pertanian moden menggunakan sistem hidroponik NFT solar dan penanaman anak pokok pisang hasil daripada teknologi tisu kultur.

Ketua Projek Mahani Amat@Halimi berkata program dengan kerjasama Badan Kebajikan Taman Perwira Setia Indah Gombak itu secara langsung dapat memberikan pendapatan sampingan dan meningkatkan kesejahteraan hidup.

"Program ini telah memberikan impak dari sudut sosial, ekonomi dan impak kepada alam sekitar. Impak sosial kebun komuniti yang terhasil dapat dibuktikan apabila komuniti berupaya menanam dan menguruskan hidroponik yang dibekalkan dan hasilnya.

"Sebanyak 60 kilogram (kg) sayur berjaya dituai dalam tempoh tiga kali tuaian dengan anggaran penjimatan perbelanjaan adalah sebanyak RM600 berdasarkan kepada harga pasaran semasa. Secara tidak langsung, ini telah memberikan impak kepada ekonomi keluarga," katanya.

Beliau berkata program itu turut memberikan impak terhadap alam sekitar dalam aspek memupuk kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar melalui pertanian.

"Komuniti telah diperkenalkan dengan amalan pertanian yang baik dan cara menghasilkan baja organik menggunakan bahan seperti ikan, batang pisang, pisang dan kangkung. Kami berharap program ini dapat menjadi contoh kepada komuniti lain dalam menguruskan sumber mereka dengan lebih bijak dan lestari," katanya.

Tambah beliau, secara purata kebun komuniti yang dibangunkan telah memberikan penjimatan perbelanjaan sehingga RM200 sebulan/isi rumah dan menunjukkan kebun komuniti dapat membantu mengurangkan kebergantungan bahan makanan daripada sumber luar dan kemudahdapatan hasil makanan di kawasan kediaman.

"Kebun komuniti kini mampu menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan bagi penduduk setempat yang secara tidak langsung membantu kepada keterjaminan makanan,"katanya.

Kejayaan program itu juga disambut baik oleh komuniti setempat yang kini mampu mengurus kebun komuniti mereka dengan lebih efektif. Mereka juga berhasrat untuk meneruskan inisiatif ini pada masa hadapan dengan penambahan modul-modul baru yang relevan mengikut keperluan semasa.

Komuniti Taman Perwira Setia Gombak juga bersedia menjadi tempat pembelajaran kepada mereka yang ingin belajar ilmu berkaitan kebun komuniti dan model untuk dibangunkan di kawasan lain.

Wakil dari kebun komuniti Garden8, Aida Haniza Adnan berkata programitu telah mengubah cara komuniti melihat pertanian dan mereka kini lebih yakin untuk mengusahakan kebun tersebut

"Hasil daripada 10 set hidroponik solar yang diterima di kawasan Taman Perwira Setia ini telah meningkatkan hasil tuaian tanaman sayur-sayuran dan pemantauan serta sokongan yang berterusan khususnya daripada UCTC UPM,” katanya.

Selain itu, lapan modul pertanian telah diperkenalkan kepada komuniti dan memberikan impak ketara terhadap kemahiran dan pengetahuan peserta melalui perkongsian ilmu secara teori, amali dan khidmat nasihat yang berterusan.

Ianya disampaikan oleh 14 orang pegawai UPM dari pelbagai pusat tanggungjawab seperti Fakulti Pertanian, Pusat Pertanian Universiti, Kolej Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (KOSASS), Pusat Kesihatan Universiti dan UCTC.

Modul-modul tersebut adalah seperti modul semaian, hidroponik, pembajaan, penyediaan mol organik, kawalan serangga perosak dan penyakit, penanaman tanaman buah naga dan pisang, asas penternakan ikan tilapia dan kesihatan diabetes.

Program berkenaan telah dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia bawah inisiatif program Pendayaan Komuniti@UniMadani UPM.

Di bawah peruntukan dana itu, komuniti diberikan 11 unit sistem hidroponik NFT solar dan sistem hidroponik DFT yang boleh menghasilkan sebanyak 388 pokok sayur, mesin pemotong rumput dan 60 anak pokok pisang hasil daripada teknologi tisu kultur UPM.

2001 UPM BANTU KOMUNITI 2
Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM)
bersama komuniti Taman Perwira Setia, Gombak baru-baru ini

SITI AISHAH MD ISA