fb fb fb fb fb

UniSZA masih teruskan menu RM3.50

KUALA NERUS, 2 Februari- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan terus memberi tumpuan dan menambah baik menu hidangan untuk para pelajar dan juga kakitangannya dari semasa ke semasa selaras dengan saranan kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah.

Naib Canselornya Profesor Doktor Fadzli Adam, berkata kempen harga menu juadah makanan tengah hari berharga RM3.50 khusus untuk para pelajarnya di kantin kampus tersebut masih lagi diteruskan.

Pihaknya juga berusaha mengekalkan harga patut tersebut di samping penambahbaik juadah hidangan berkenaan.

Selaras dengan konsep menu Rahmah, juadah makanan seimbang diperkenalkan baru-baru ini.

"Bagaimanapun menu itu juga boleh dibeli kakitangan. Menu Rahmah itu memang menjadi agenda universiti untuk mengurangkan beban dengan kenaikan harga makanan, dan juga barang-barang," katanya kepada RTM selepas Majlis Penyerahan Dermasiswa Maybank-UniSZA kepada 25 pelajar tahun pertama terpilih daripada golongan keluarga B40 di Kampus Gong Badak di sini, hari ini.

Terdahulu Profesor Doktor Fadzli menyaksikan penyerahan tersebut oleh Pengarah Wilayah Maybank Pahang, Kelantan dan Terengganu Ahmad Farid Qoureshmi Md Daud berjumlah RM6,000 untuk setiap seorang pelajar terpilih untuk sesi pengajian tahun pertama, selama dua semester.

Sumbangan dermasiswa itu secara keseluruhannya berjumlah RM150,000 dan merupakan kali pertama dilaksanakan pihak bank tersebut melibatkan sekumpulan pelajar terpilih di UniSZA.

Jelas Profesor Doktor Fadzli, jumlah itu untuk perbelanjaan setahun merangkumi bantuan yuran pengajian, yuran kolej kediaman dan sara hidup.

Ia sekali gus dapat menampung dan meringankan kos yang ditanggung oleh keluarga masing-masing.

(Fadzli Adam)

 

Media Baharu