PUTRAJAYA, 10 November - Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses merangka Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2026-2030 (NAPTIP 4.0) sebagai kesinambungan kepada kejayaan pelan terdahulu, NAPTIP 3.0 (2021-2025).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan baharu itu akan menumpukan kepada pengenalpastian mangsa dalam sektor berisiko tinggi, peningkatan siasatan serta pendakwaan termasuk melibatkan penjawat awam.
“Dalam pelan yang akan datang, kita akan memberikan fokus khusus terhadap peningkatan akses kepada khidmat jurubahasa serta penambahbaikan koordinasi pengurusan kes. Hal ini penting kerana ramai dalam kalangan mereka tidak menguasai bahasa kita.
"Jika kita benar-benar mahu membantu dan melibatkan mereka dalam usaha ini, maka keupayaan untuk saling memahami amatlah penting. Oleh itu, perlu ada langkah untuk memastikan mereka mendapat akses kepada jurubahasa yang mencukupi,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia (WDAT) 2025 di sini hari ini.
Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, NAPTIP 4.0 turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan peranan Victim Assistance Specialist di Sabah dan Sarawak, integrasi data, digitalisasi penguatkuasaan serta standardisasi perlindungan mangsa di seluruh negara.
Tambahnya, pelan berkenaan juga akan memperkukuh kerjasama rentas agensi, kerajaan dengan badan bukan kerajaan bagi membina ekosistem respons nasional yang lebih tangkas dan berkesan.
Pelaksanaan NAPTIP 3.0 sebelum ini menunjukkan hasil positif apabila Malaysia mengekalkan penarafan Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2025 yang diumumkan pada 30 September lalu.
Penarafan itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha kerajaan memperkukuh mekanisme pengawalseliaan, memutuskan rangkaian sindiket serta meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban agensi penguat kuasa.
“Kerajaan kekal teguh dengan prinsip toleransi sifar terhadap jenayah pemerdagangan orang, yang merupakan perbuatan keji serta penafian terhadap maruah dan kebebasan manusia,” tegasnya.
NAPTIP 3.0 dilancarkan pada Mac 2021 dan menjadi dokumen strategik utama dalam membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.
Sementara itu, NAPTIP 4.0 dijadual dibentangkan Februari depan sebagai fasa baharu memperkukuh komitmen Malaysia dalam menangani jenayah rentas sempadan itu.