LANGKAWI, 22 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai dua perjanjian strategik bersama syarikat industri dalam usaha memperkukuh pembangunan teknologi tempatan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
Perjanjian pertama melibatkan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UniMAP dan Boomslang Dynamics Sdn. Bhd. bagi projek pembangunan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) tempatan.
Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli mewakili pihak universiti, manakala Boomslang Dynamics diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Aadil Ashreff Wadvalla.
Projek berkenaan dijangka menyumbang kepada penghasilan harta intelek (IP), laporan teknikal serta video pendek untuk kegunaan akademik dan komersial.
Sementara itu, memorandum persefahaman (MoU) antara UniMAP dan Glide Marine Sdn. Bhd. turut dimeterai bagi meneroka pelbagai peluang kerjasama, termasuk Program Pembelajaran Berasaskan Industri, penempatan pelajar, penyelidikan bersama serta penganjuran seminar dan persidangan.
Projek utama di bawah MoU itu ialah kajian penyelidikan bertajuk “Optimization of Lightweight Sandwich Structures for Enhanced Strength and Durability in AWL 3 Boomslang UAV Fuselage and Wing Design”, yang akan berlangsung selama 18 bulan dengan dana pembiayaan RM300,000 di bawah program Industry Matching Programme (IMaP).
“Saya yakini kedua-dua syarikat begitu aktif dalam pendidikan dan inovasi, dan ini juga akan membuka peluang kepada pensyarah serta pelajar UniMAP untuk mendapatkan pengalaman dan pekerjaan dalam bidang tersebut,” kata Prof. Zaliman.
Majlis menandatangani perjanjian berlangsung di Pavilion Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.