fb fb fb fb fb

Projek latok, ketam nipah jadi model perkasa komuniti pesisir

FOTO UiTM CAWANGAN PERLIS

LANGKAWI, 22 Mei- Program Sesi Libat Urus Bersama Komuniti bagi Projek Latok dan Ketam Nipah di perkampungan pesisir Kubang Badak, Langkawi anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis di Kubang Badak, dilihat mampu menjadi model kerjasama berimpak tinggi antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat luar bandar.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Profesor Dr. Zainal Amin Ayub berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu dan penyelidikan, malah memberi nilai langsung kepada rakyat, khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan ekonomi komuniti pesisir.

“Projek seperti ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan dasar University for Society (U4S) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang menekankan peranan universiti sebagai pemacu pembangunan akar umbi, bukan sekadar menara gading,” katanya ketika menghadiri Program Sesi Libat Urus Bersama Komuniti anjuran UiTM Perlis di perkampungan pesisir itu.

Program tersebut dianjurkan melalui Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Perlis sebagai platform pemindahan ilmu dan teknologi kepada komuniti setempat dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama universiti-komuniti.

Projek yang diketuai oleh Dr. Jamil Tajam memberi tumpuan kepada potensi ekonomi hasil laut seperti latok (rumpai laut) dan ketam nipah melalui pendekatan penyelidikan berasaskan komuniti serta pemerkasaan keusahawanan lestari.

Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor serta barisan pengurusan kanan Kementerian Pengajian Tinggi dan UiTM.

 

2205 PLS UITM 2
FOTO UiTM CAWANGAN PERLIS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE