PUTRAJAYA, 22 Mei - Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun ini, bakal menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau itu dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan deklarasi itu sebagai kemuncak kepada kerjasama erat antara pemimpin politik, cendekiawan dan pegawai kanan kerajaan.
Katanya, ia mencerminkan komitmen bersama ASEAN untuk bergerak melangkaui retorik kepada tindakan sebenar dalam isu-isu penting berorientasikan masa hadapan.
“Kami merangkumi tinjauan menyeluruh mengenai apa yang perlu dilihat atau dijangkakan. Tadbir urus, pembangunan digital dan masa depan – inilah bidang yang akan kita tangani secara menyeluruh dalam Deklarasi KL,” katanya.
Datuk Seri Anwar bekata demikian pada sesi taklimat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Rabu.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.
Datuk Seri Anwar menegaskan, keamanan dan keselamatan, kekal sebagai prasyarat penting untuk kemajuan serantau, namun menekankan bahawa deklarasi tersebut turut merangkumi fokus strategik untuk fasa pembangunan ASEAN yang seterusnya.
“Sudah tentu, keamanan dan keselamatan adalah fundamental. Tetapi kini, kumpulan subserantau dan serantau juga mahukan lebih daripada sekadar kerjasama dan persefahaman, mereka mahukan spesifik dan an Deklarasi KL menangani perkara itu,” kata beliau.
Tambah Datuk Seri Anwar, dokumen itu telah dibincangkan dan diperhalusi dalam sesi pemimpin ASEAN baru-baru ini dan telah mencapai kata sepakat untuk meneruskan pelaksanaannya.
“Terdapat konsensus yang kuat. Kami teliti draf tersebut dan dari situ kami bergerak ke hadapan. Sebahagian besar kandungan telah pun diketahui negara anggota, yang penting sekarang ialah komitmen tegas untuk melaksanakannya,” katanya.