fb fb fb fb fb

Malaysia terajui ASEAN ke arah integrasi ekonomi dan tenaga serantau

Malaysia terajui ASEAN ke arah integrasi ekonomi dan tenaga serantau / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 22 Mei – Integrasi ekonomi kukuh, pengembangan perdagangan serantau dan ketersambungan tenaga rentas sempadan menjadi antara tonggak utama yang digariskan Malaysia sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu adalah sebahagian daripada visi strategik berani yang dirangka untuk membawa ASEAN ke fasa pertumbuhan seterusnya, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik global masa kini.

“Sempena ASEAN kali ini, kita memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keeratan ikatan ASEAN, meningkatkan kepentingan ekonomi dan perdagangan, serta melonjakkan pelaburan dalam kalangan negara anggota,” ujar Datuk Seri Anwar pada sesi taklimat bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa, di sini, pada Rabu.

Malaysia, kata Datuk Seri Anwar turut bertekad memacu ASEAN sebagai platform neutral dalam membentuk suara serantau yang lebih bersatu dan selaras berpaksikan nilai, khususnya di kawasan Indo-Pasifik.

Mengulas projek Grid Tenaga ASEAN, Datuk Seri Anwar menyifatkannya sebagai langkah besar dalam kerjasama tenaga serantau, dengan sambungan awal melibatkan kabel dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia, sebelum berpotensi disambung ke Singapura melalui Grid Nasional.

“Pada fasa pertama, perkara yang dilihat lebih berdaya maju dari segi ekonomi ialah menghubungkan Vietnam ke utara Malaysia dan selatan, dan kemudian menghubungkannya ke Singapura melalui Grid Nasional kita,” katanya.

Dalam hal tersebut, Datuk Seri Anwar berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) disebut sebagai calon utama yang bakal diberi peranan penting dalam pelaksanaan segmen utama projek berkenaan.

Fasa seterusnya, jelas Perdana Menteri, bakal melibatkan negara seperti Kemboja, Thailand dan wilayah Sarawak, dengan tumpuan terhadap pemanfaatan kapasiti besar Sarawak dalam sumber tenaga alternatif termasuk gas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN