fb fb fb fb fb

RTM raih pengiktirafan di Anugerah Media Agrobank 2024/2025

RTM raih pengiktirafan di Anugerah Media Agrobank 2024/2025 / Foto Bernama

PETALING JAYA, 22 Mei – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju media dalam mengangkat sektor agro dan pertanian negara apabila lima pengamal medianya meraih pengiktirafan dalam Anugerah Media Agrobank 2024/2025.

Majlis penyampaian anugerah berlangsung pada Rabu dan menyaksikan lebih 150 penyertaan media dinilai menerusi kerjasama antara Agrobank dan Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen dalam menghasilkan laporan media yang positif, tepat dan menyeluruh, khususnya berkaitan aktiviti pertanian dan isu keselamatan makanan negara.

Muhammad Ameerul Hafiz Mohd Rosli dari RTM Kelantan dinobatkan sebagai juara kategori Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian (Berita & Laporan Khas) menerusi laporan bertajuk “Teknologi Bioflok Pacu Sekuriti Makanan Negara.”

Sementara itu, tempat ketiga bagi kategori sama dimenangi oleh Mohd Rashid B. Jali dan Ahmad Rosli Aziz dari RTM Kedah melalui laporan “Usahawan Jambu Batu.”

“Sangat-sangat terkejut dan tak sangka. Malam ini kita bersaing bukan di peringkat negeri, tetapi peringkat Malaysia. Membawa nama RTM di persada kebangsaan ini amat membanggakan saya sebagai anak RTM,” kata Muhammad Ameerul Hafiz.

“Syukur kepada Allah atas kemenangan ini. Terima kasih juga kepada semua kakitangan RTM Kedah, khususnya Unit Berita Ehwal Semasa,” ujar Mohd Rashid.

Dalam kategori Anugerah Teknologi & Digital Agrobank, Fazli Berahim dari RTM Kuala Lumpur muncul juara menerusi dokumentari “Agrotek: Klon Elit Kacip Fatimah.”

Tempat ketiga kategori sama dimenangi Alya Alvian Washif dari RTM Sabah melalui dokumentari “Rona Sabah: Jagung Bandau.”

“Saya lihat skop penulisan dan penyiaran mengenai teknologi pertanian di Malaysia masih sederhana. Media sebenarnya platform terbaik untuk memainkan peranan penting,” kata Fazli.

“Kalau bukan kita, siapa lagi? Sebagai media, kita bertanggungjawab membantu pembangunan industri pertanian,” ujar Alya Alvian.

Dalam kategori Anugerah Media Radio, Norahidah Abdul Rahim dari RTM Perak diumumkan naib juara dengan dokumentari radio bertajuk “Petani Wanita, Wira Tanpa Mahkota.”

“RTM memainkan peranan penting menaikkan semangat petani kecil. Dengan kemenangan ini, saya akan berusaha menghasilkan pembaharuan dalam penyiaran radio,” katanya.

Para pemenang membawa pulang trofi kemenangan dan wang tunai bernilai RM5,000 (juara), RM3,000 (naib juara) dan RM1,000 (tempat ketiga).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN