KUALA LUMPUR, 22 Mei -Sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memeterai perjanjian kerjasama dengan United Cities and Local Governments Asia-Pacific (UCLG-ASPAC) bagi penganjuran Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) 2025.
Program tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur, dari 12 hingga 14 Ogos ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Jakarta bersempena dengan program `Climate Resilience and Innovation Forum (CRIF) 2025: Empowering Cities and Local Governments for a Climate-Resilient Future', baru-baru ini.
Pada majlis itu DBKL diwakili oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif manakala UCLG-ASPAC diwakili Setiausaha Agungnya, Dr Bernadia Irawati Tjandradewi.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama strategik itu bakal mengukuhkan lagi peranan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah MGMAC tahun ini.
"Ia juga sekali gus memperkasa agenda kerjasama serantau dan pertukaran amalan terbaik antara ibu kota negara ASEAN ke arah pembangunan bandar yang inklusif, inovatif dan berdaya tahan iklim," katanya kenyataan itu menerusi akaun rasmi di Facebook.