SINTOK, 10 November - Tiga tahun terkurung di sebalik jeriji besi bukan penghalang buat seorang bekas pegawai risik pasukan keselamatan, Mohd Razin Razali, 35 tahun, untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak 20 Jun 2022, hidupnya berubah sekelip mata.
Bukan sahaja kehilangan kebebasan, malah ditinggalkan isteri tercinta.
Namun, daripada runtuhan hidup itulah dia bangkit membina harapan baharu.
Menurut Mohd Razin, dengan sokongan daripada pelbagai pihak, beliau berjaya mencapai kejayaan yang diimpikan.
"Alhamdulillah berkat dengan doa ibu, berkat sokongan daripada pihak UUM, penyelia, saya telah dapat mencapai kejayaan yang saya impikan selama ini.
"Pendorong utama tentulah keinginan sebab saya ingin membuktikan bahawa tahanan di dalam penjara pun masih mempunyai impian, masih mempunyai keinginan untuk berjaya dan membuktikan kepada masyarakat peluang kedua perlu diberikan kepada setiap tahanan dalam penjara," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima skrol yang disampaikan oleh Raja Muda Kedah merangkap Pro-Canselor UUM, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-38 universiti itu, pada Isnin.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UUM, para pensyarah, pegawai penjara, dan keluarga besar Penjara Alor Setar, atas kepercayaan serta sokongan moral yang tidak ternilai.