fb fb fb fb fb

Kanser bukan 'titik penamat' raih PhD

Kejayaan dicapai selepas diuji masalah kesihatan / Foto RTM

BACHOK, 11 November - Kanser bukan penghalang bagi pensyarah, TS Dr Fadhilahanim Aryani Abdullah untuk menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan.

Kejayaan dikecapi selepas 10 tahun diuji masalah kesihatan.

Pensyarah UMK yang berusia 45 tahun itu, menyambung pengajian PhD pada 2015 dan diagnosis kanser payudara pada 2017.

"Keadaan kesihatan merosot dengan pelbagai rawatan perlu dijalankan.

"Pengajian yang sepatutnya tamat dalam tempoh tiga atau lima tahun sahaja, tetapi kerana penyakit yang dihidapi, saya hanya mampu menamatkan pengajian tahun lepas di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, UMK.

"Kejayaan yang dicapai juga hasil sokongan suami", katanya selepas Istiadat Konvokesyen UMK ke-15.

Mengulas lanjut, ibu kepada tiga anak itu turut memberitahu, sehingga kini beliau perlu meneruskan rawatan kanser dan meneruskan kerjaya sebagai pensyarah.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Mohamad Sulhi Mohamad Sabrry, 23 tahun pula mengabadikan kejayaan kepada kedua ibu bapa, Sulekha Ali dan Mohamad Sabrry Abd Ghani, masing-masing berusia 57 tahun yang merupakan peniaga kedai makan.

Beliau memperoleh Purata Gred Kumulatif (CGPA) 3.97 dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Perniagaan Dengan Bahasa Inggeris (Kepujian) di Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, UMK.

FAUZIAH ABD RAHMAN