fb fb fb fb fb

UniMAP kongsi kepakaran jayakan projek perdana EEC

ARAU, 7 Julai - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia menyumbang kepakarannya bagi menjayakan projek perdana Koridor Ekonomi Timur (EEC) yang merupakan perancangan besar Thailand untuk bergelar hab logistik di ASEAN.

Sebagai universiti yang terletak di  negeri sempadan negara, menjadi kelebihan kepada UniMAP menjalinkan kerjasama dengan negara Gajah Putih itu dalam meningkatkan hab logistik merangkumi pengangkutan darat, air dan udara.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Profesor Dr Mohd Yusoff Mashor, UniMAP berkepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan meliputi bidang elektronik, elektrik, awam, alam sekitar, mikroelektronik, biomedikal, mekatronik, bahan, kimia, polimer, pertanian dan pelbagai lagi. 

"Dengan kepakaran yang ada ini UniMAP melihat begitu banyak peluang perkongsian kepakaran dalam pelbagai sektor boleh disumbangkan oleh UniMAP, anntaranya adalah dengan membantu Thailand merealisasikan idea penggunaan Bio-Circular-Green (BCG) Economy Model  dan teknologi pintar bagi memudahkan perdagangan," kata Dr Mohd Yusoff pada program Syarahan Umum Duta Besar Malaysia Ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, di sini.

(FOTO FAIL)

Berkenan berangkat ke program berkenaan ialah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP.

Sehingga kini, UniMAP telah berkolaborasi dengan beberapa buah universiti di Thailand, antaranya ialah Universiti Walailak, Universiti Thaksin, Universiti Nakhon Pathom Rajabhat, Universiti Prince of Songkla, Universiti Rajamangala University of Technology Srivijaya dan Universiti Hatyai.

Media Baharu