(Foto BERNAMA)
KEMAMAN, 7 Julai- Mangsa kesembilan tragedi kepala air di Kemaman, Terengganu yang ditemukan pada pukul 9.20 pagi tadi disahkan sebagai Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, operasi kini tertumpu kepada mangsa terakhir iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14 tahun.
"Pengesahan berdasarkan laporan cap jari yang disahkan Bukit Aman.
"Kita juga membuat perbandingan dengan DNA, cuma DNA kita belum sahkan lagi.
"Jenazah akan diserahkan kepada keluarga dan dijangka meninggalkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.00 malam ini untuk dibawa ke Batu Pahat, Johor.
"Jenazah agak uzur untuk dikenali secara fizikal," katanya kepada pemberita di sini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini ditangguhkan pada pukul 6.30 petang kerana hujan lebat serta ribut petir dan akan disambung semula pada pukul 7.30 pagi esok.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan II Azman Alias berkata berdasarkan pengalaman SAR yang lepas, mangsa berkemungkinan tertimbus di dalam pasir.
"Kita akan menempatkan beberapa kumpulan untuk membuat penggalian di beberapa tempat yang dipercayai wujud benting-benting pasir yang baharu.
"Pelbagai cara dilakukan agensi penyelamat bagi memastikan mangsa ditemukan.
"Pada masa sama pasukan penyelamat juga turut mengadakan solat hajat di lokasi kejadian bagi memohon semoga Allah SWT memudahkan segala urusan pencarian mereka," katanya.
(Pada masa sama pasukan penyelamat juga turut mengadakan solat hajat di lokasi
kejadian bagi memohon semoga Allah SWT memudahkan segala urusan
pencarian mereka)
Setakat ini, sembilan orang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih pada Sabtu lepas, manakala seorang lagi masih hilang.
Jenazah lapan mangsa itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang pada Selasa dan Rabu lalu.
(Foto BERNAMA)