KUALA LUMPUR, 7 Julai - Telekom Malaysia Bhd (TM) mengumumkan pelantikan Datuk Zainal Abidin Putih sebagai Pengerusi baharunya, menggantikan Tan Sri Azlan Hashim, berkuat kuasa 1 Ogos, 2023.
Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata, TM turut mengumumkan pelantikan Amar Huzaimi Md Deris sebagai Pengarah Urusan (MD) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) baharu, berkuat kuasa 1 Ogos, menggantikan Datuk Imri Mokhtar.
Azlan dan Imri akan melengkapkan penggal masing-masing pada 31 Julai, 2023.
Menurut kumpulan telekomunikasi itu, Zainal Abidin akan bertanggungjawab untuk menyelia keseluruhan tadbir urus dan hala tuju strategik TM.
(Datuk Zainal Abidin Putih)
"Beliau akan bekerjasama rapat dengan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan bagi memacu gelombang pertumbuhan seterusnya untuk TM dan mengukuhkan kedudukan pasarannya.
"Dengan pelantikan Amar Huzaimi sebagai MD/GCEO baharu, TM yakin ia akan terus berinovasi dan berkembang, membina kejayaan dan meningkatkan lagi peranannya sebagai pengupaya Digital Malaysia," katanya.
Amar Huzaimi berkata Imri telah menetapkan laluan yang betul untuk TM, dengan asas yang diperkukuh daripada pemulihan dan mengejar bidang pertumbuhan baharu, mencatatkan peralihan daripada syarikat telekomunikasi (telco) kepada syarikat teknologi (techno).
"Saya berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan itu, dan kini, saya bersemangat untuk mengikut dan menerajui TM ke peringkat seterusnya," katanya.