fb fb fb fb fb

Perlis sasar empat juta pelancong, rangka 12 program berskala besar

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah

PADANG BESAR, 1 Januari -Perlis menyasarkan empat juta pelancong tahun ini, berbanding 3.5 juta pelancong pada 2025.

Kerajaan negeri turut merangka 12 program berskala besar, termasuk penambahbaikan penganjuran Pesta Angin Timur dan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis, yang bakal diperluas dengan penyertaan antarabangsa.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, perancangan promosi pelancongan negeri digerakkan seiring kempen pelancongan nasional.

Ia termasuk penganjuran program dan acara tahunan yang ditambah baik bagi meningkatkan tarikan pelancong domestik serta luar negara.

"Dan Pesta Angin Timur kali ni kita ditambah baik sikit kepada lebih kepada penyertaan antarabangs. Bulan Februari dan Mei, festival rakyat, bulan Jun dan banyak lagi acara saya rasa untuk yang besar ada 12 program untuk Perlis. Dalam masa sama ia menjurus untuk mempromosikan Malaysia bersekali," katanya ketika berucap selepas meninjau pergerakan masuk pelancong ke Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

Beberapa acara tradisional turut diberi penjenamaan baharu seperti Pertandingan Tangkap Belut dan Ikan, Pertandingan Gasing, serta penganjuran acara sukan tradisional bertaraf antarabangsa.

Kesemua program berkenaan bukan sahaja mempromosikan Perlis, malah menyokong sasaran nasional Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menarik 43 juta pelancong ke Malaysia melalui promosi di 55 pintu masuk negara.

TETITIA YUSOFF