LANGKAWI, 20 Mei – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terus memperluas peranannya dalam bidang teknikal strategik negara apabila mula aktif melibatkan pelajar dalam sektor maritim, selain aeroangkasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata seramai lebih 200 pelajar kini sedang mengikuti pengajian berkaitan teknologi kelautan di Institut Teknologi Kejuruteraan Marin (Jilumut) bawah UniKL.
“Kita bukan sahaja fokus pada bidang aeroangkasa, tapi juga dalam bidang kelautan dan sekarang ini lebih 200 pelajar kita sedang ikuti kursus di Jilumut,” katanya kepada media bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25).
Menurut beliau, langkah itu dilihat selaras dengan keperluan negara terhadap tenaga kerja mahir dalam sektor maritim, terutamanya dalam bidang penyelenggaraan, pembinaan kapal dan teknologi laut dalam.
Penyertaan aktif pelajar dalam dua sektor utama itu juga menjadi indikator kesiapsiagaan UniKL membekalkan tenaga kerja berkualiti sejajar aspirasi industri dan pertahanan negara.