fb fb fb fb fb

Anugerah KPKT 2025 buka laluan ke Harvard, hadiah tunai cecah RM20,000

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Foto- BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Mei – Sebanyak 8 kategori anugerah akan dipertandingkan menerusi Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) KPKT 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penganugerahan itu merupakan platform pengiktirafan rasmi KPKT kepada pengamal media yang memainkan peranan dalam menyampaikan agenda kementerian kepada rakyat.

Menurut beliau, karya yang diterbitkan dari 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2025 layak dicalonkan.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 5 September 2025.

Setiap penyertaan akan dinilai secara teliti berdasarkan piawaian penjurian berkualiti tinggi oleh panel juri profesional dan berpengalaman.

AKeMedia yang kini memasuki tahun ketiga penganjuran merupakan hasil kerjasama antara KPKT dan Malaysian Press Institute (MPI).

Majlis anugerah itu dijadual berlangsung pada 3 November 2025.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan AKeMedia Tahun 2025, di sini.

Dalam sidang media sama, Nga turut mengumumkan penganjuran AKM 2025 bagi mengiktiraf peranan penjawat awam, khususnya warga kerja KPKT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sebanyak 10 kategori akan dipertandingkan di bawah AKM 2025 sebagai usaha menggalakkan persaingan kompetitif dan membina ekosistem tadbir urus cemerlang dalam kalangan penjawat awam.

Penyertaan AKM 2025 dibuka kepada semua warga KPKT dan PBT, dengan tarikh tutup pada 16 September 2025.

Penerima anugerah akan menerima penghargaan dan ganjaran termasuk hadiah wang tunai sehingga RM20,000, bergantung kepada kategori.

Selain itu, pemenang turut menerima sijil penghargaan, trofi, serta peluang mengikuti kursus jangka pendek di universiti ternama luar negara seperti Universiti Harvard dan Melbourne Business School bagi kategori terpilih.

AKM 2025 kali ini menampilkan pendekatan lebih inklusif dan progresif dalam meraikan pencapaian penjawat awam KPKT serta PBT.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) 2025 dijadual berlangsung pada 8 November 2025.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN