fb fb fb fb fb

Malaysia negara terawal terima Tasrih

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun (tengah) dalam sidang media di Abraj Al Tayseer, Mekah

MEKAH, 20 Mei - Malaysia menjadi negara terawal menerima kelulusan permit (Tasrih) untuk Pusat Rawatan Tabung Haji di Madinah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata, ia merupakan satu pengiktirafan terhadap standard perkhidmatan kesihatan Malaysia yang tinggi khususnya dalam pengurusan jemaah haji.

Kerjasama strategik yang dijalinkan bersama syarikat kesihatan swasta, Saudi German Hospital pada musim haji kali ini membolehkan hospital dan klinik Tabung Haji beroperasi sepenuhnya pada tahun ini.

"Kementerian Kesihatan Arab Saudi mewajibkan semua rombongan rasmi haji melantik penyedia kesihatan swasta tempatan untuk mendapat kelulusan, keduanya adalah untuk memantau operasi kesihatan kita di sini," katanya dalam sidang media di Abraj Al Tayseer, di sini.

Dalam pada itu, setakat ini seramai 141 jemaah haji menerima rawatan dalam wad di Pusat Rawatan Tabung Haji dan Hospital Arab Saudi. 

"Kes-kes kesihatan adalah melibatkan penyakit saluran paru-paru, batuk atau selesema penyakit telinga, tulang dan otot juga penyakit kulit," katanya.

Sementara itu Mohd Hisham menasihatkan para jemaah supaya memakai pelitup muka setiap kali berada di luar bangunan penginapan sebagai langkah melindungi diri daripada cuaca panas dan debu yang boleh menjejaskan kesihatan.

"Dua tiga hari lepas kita dapati cuaca di Mekah ini agak berdebu keadaan ini tidak sihat untuk jemaah. Jadi kita nasihatkan jemaah agar memakai pelitup muka apabila keluar ke masjid dan kita sarankan semua jemaah haji pakai pelitup muka," katanya lagi.

Operasi Haji 1446 Hijrah berjalan lancar dengan seramai 18,453 jemaah kini sudah berada di Tanah Suci. 

Setakat ini 62 penerbangan telah selamat tiba di Madinah dan Jeddah. Manakala baki 38 lagi penerbangan akan menyusul dengan penerbangan terakhir dari Kuala Lumpur pada 1 Jun depan.

TETITIA YUSOFF